NUR HAZIRAH BINTI NORAZEMAT Kolej Vokasional Klang
Pelajar menghadapi masalah ketidakseragaman pemotongan dawai semasa pembelajaran amali yang melibatkan kerja pemotongan dawai bagi mengikat tetulang dengan menggunakan alatan sedia ada di bengkel. Keadaan ini telah menyumbang kepada pembaziran bahan, masa dan tenaga. Projek ini bertujuan membangunkan produk inovasi yang dinamakan Wire Zapper berasaskan logam besi berdasarkan reka bentuk menggunakan perisian SketchUp bagi mengatasi masalah kajian untuk kegunaan pelajar Program Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Klang. Pelaksanaan pembangunan projek adalah berpandukan fasa pembangunan reka bentuk Model A.D.D.I.E yang terdiri daripada lima fasa iaitu Analysis (mengenal pasti bahan dan kos), Design (mereka bentuk projek), Development (membangunkan produk berdasarkan reka bentuk yang dihasilkan), Implementation (menggunakan produk) dan Evaluation (menilai keberkesanan produk dalam menyelesaikan masalah kajian). Penyelidik telah menjalankan soal selidik menggunakan Google Form untuk mengumpul data bagi menilai keberkesanan produk dan dianalisis berdasarkan kaedah statistik deskriptif. Seramai 35 orang pelajar Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Klang terlibat sebagai responden kajian. Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden memberikan maklum balas yang positif terhadap produk inovasi Wire Zapper yang dibangunkan. Secara keseluruhannya, dapatan ini memberikan implikasi bahawa pembangunan produk inovasi ini berjaya mencapai objektif kajian dalam menyelesaikan masalah kajian. Dicadangkan untuk penambahbaikan bagi kajian seterusnya, high carbon steel yang digunakan digantikan dengan stainless steel agar tempat pemotong lebih tajam.