MUHAMAD HAIZAD BIN MOHD HARMIZI KOLEJ VOKASIONAL TENGKU AMPUAN AFZAN
Sistem Pemantauan Beg Urinari Pesakit Kronik Menggunakan IoT dibangunkan sebagai satu inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan bagi membantu pemantauan pesakit yang menggunakan kateter urinari. Penyakit seperti strok dan keadaan kronik lain sering menyebabkan pesakit tidak mampu mengawal sistem urinari mereka. Keadaan ini menjadikan pemantauan secara manual oleh jururawat satu cabaran, terutamanya apabila jumlah pesakit adalah tinggi. Sistem ini direka bentuk untuk mengatasi masalah pemantauan manual yang kurang berkesan, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pesakit serta meningkatkan risiko jangkitan. Sistem ini menggabungkan beberapa komponen utama seperti ESP32, penderia berat, LED, buzzer, dan sistem notifikasi e-mel bagi membolehkan pemantauan dilakukan secara automatik. Penderia berat akan mengesan tahap isi padu urin dalam beg, dan apabila mencapai had tertentu, sistem akan menghantar isyarat melalui bunyi buzzer, pencahayaan LED, serta pemberitahuan e-mel kepada jururawat atau penjaga pesakit. Hasil kajian menunjukkan bahawa sistem ini dapat meningkatkan kecekapan pemantauan pesakit, mengurangkan beban pemantauan manual oleh jururawat, serta memberi keselesaan kepada pesakit dengan memastikan beg urinari dikosongkan tepat pada masanya. Penambahbaikan boleh dilakukan pada masa hadapan dengan menambah fungsi kawalan suara serta menyesuaikan sistem untuk pelbagai jenis kateter urinari bagi meningkatkan keberkesanan penggunaannya. Diharapkan inovasi ini dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan pesakit kronik serta memperkasa penggunaan teknologi dalam bidang kesihatan.