ROZNAWATI A/P RAZALI KOLEJ VOKASIONAL (PERTANIAN) TELUK INTAN
Akuakuktur adalah salah satu sumber ekonomi utama untuk kebanyakan negara dan ia merupakan salah satu komponen penting dalam aspek sekuriti makanan. Di Malaysia, industri akuakultur semakin berkembang pesat dan dijalankan secara intensif. Impak dari ternakan secara intensif adalah kecenderungan untuk berhadapan dengan serangan penyakit. Penyakit merupakan punca utama permasalahan dalam industri akuakultur kerana ianya boleh menyebabkan kematian yang tinggi sekaligus memberi kerugian yang besar kepada penternak dan industri. Haiwan akuatik seperti ikan dan udang mudah terdedah kepada jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti parasit, bakteria, kulat dan virus. Justeru, Unit Akuakultur Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan telah menjalankan satu kajian untuk menghasilkan satu produk rawatan ikan yang dikenali sebagai AQUAKENKO dengan menggunakan tiga bahan utama iaitu Salix Babylonica, Acacia Catechu dan Effective Microbe (EM). Dalam kajian ini,penyelidik mengkaji keberkesanan AQUAKENKO dalam merawat ikan yang mengalami tegangan, merawat ikan luka, merawat ikan terkena jangkitan bakteria dan kulat serta menguji kadar tumbesan ternakan. Kajian ini menggunakan kaedah eksprimen yang dijalankan selama 12 minggu terhadap 20 ekor ikan keli untuk menguji keberkesanan AQUAKENKO. Dapatan kajian menunjukkan AQUAKENKO boleh merawat penyakit white spot, merawat ikan luka, mempercepatkan kadar tumbesaran ternakan dan penggunaan AQUAKENKO dapat mengawal kandungan ammonia dalam kolam ternakan.