NUR QISTINA BATHRISYA BINTI MOHAMAD FAZLY KOLEJ VOKASIONAL DATO' LELA MAHARAJA
Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai keberkesanan inovasi MAPENIUS™ (Peta Minda Interaktif) sebagai bahan bantu mengajar bagi meningkatkan minat dan kefahaman pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan terhadap kandungan teori yang bersifat padat dan tekstual. Isu utama yang dikenal pasti ialah pelajar kurang bermotivasi untuk membaca nota yang panjang serta sukar memahami konsep pengurusan secara menyeluruh melalui kaedah pengajaran konvensional.
MAPENIUS™ dibangunkan berasaskan pendekatan visual dan pembelajaran aktif dengan menggabungkan peta minda, elemen grafik, warna serta interaktiviti digital bagi meringkaskan kandungan teori kepada bentuk yang lebih mudah difahami dan diingati. Inovasi ini diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa topik terpilih dalam kursus Diploma Pengurusan Perniagaan. Data dikumpul melalui pemerhatian, soal selidik, dan analisis maklum balas pelajar terhadap penggunaan MAPENIUS™.
Dapatan awal menunjukkan peningkatan tahap minat, penglibatan aktif, serta kefahaman pelajar terhadap konsep teori selepas penggunaan MAPENIUS™. Pelajar didapati lebih mudah menghubungkaitkan konsep pengurusan dengan situasi sebenar perniagaan dan lebih cenderung membuat ulang kaji secara kendiri menggunakan bahan interaktif yang disediakan. Kesimpulannya, MAPENIUS™ berpotensi menjadi satu inovasi pedagogi yang efektif dalam membantu pengajaran kursus berasaskan teori serta menyokong pembelajaran bermakna dalam kalangan pelajar pendidikan tinggi.