HS387: INOVASI MAKANAN SIHAT : Burger Ikan Patin Su-Chi

Haziqah Huda Binti Hasnan Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan

Peningkatan permintaan terhadap sumber protein alternatif yang sihat dan mampan telah mendorong pembangunan produk makanan inovatif berasaskan sumber tempatan. Seiring dengan peningkatan permintaan ikan air tawar sebanyak kira-kira 50% di Malaysia, industri akuakultur berdepan cabaran seperti kos makanan yang tinggi, pencemaran air, dan risiko penyakit yang menjejaskan kualiti hasil. Oleh itu, kajian ini memperkenalkan Burger Ikan Patin Su-Chi, satu inovasi makanan sihat yang mengintegrasikan sistem ternakan lestari dengan pembangunan produk hiliran bernilai tambah tinggi. Produk ini dihasilkan menggunakan ikan patin yang diternak melalui sistem Suchi yang mengaplikasikan pelet nutrisi khas, rawatan air organik (Aquafera), serta bahan bioaktif semula jadi seperti ekstrak Terminalia catappa (Cattapa) bagi meningkatkan kesihatan ikan dan keselamatan makanan. Dalam proses formulasi, teknik dual-texture digunakan melalui kombinasi isi ikan kisar halus dan cincang kasar bagi meningkatkan tekstur sensori, manakala bahan fungsian seperti oat dan sayuran ditambah untuk meningkatkan kandungan serat. Kaedah memasak rendah lemak seperti air frying digunakan bagi mengurangkan penggunaan minyak tanpa menjejaskan kualiti produk. Analisis nutrisi yang dijalankan di makmal menunjukkan bahawa burger ini mengandungi kandungan protein yang tinggi serta lemak yang rendah, iaitu sekitar 4 g lemak per hidangan, menjadikannya alternatif yang lebih sihat berbanding burger konvensional. Ujian organoleptik melibatkan 60 orang responden menunjukkan tahap penerimaan yang sangat tinggi, di mana majoriti responden memberi penilaian “sangat suka” terhadap aspek rasa (66.7%), aroma (76.7%), warna (76.7%) dan tekstur (48.3%). Ini membuktikan bahawa produk ini bukan sahaja sihat tetapi juga memenuhi kehendak pengguna dari segi sensori. Selain itu, projek ini turut menunjukkan impak ekonomi yang signifikan dengan pulangan atas modal (ROI) sebanyak 385.17%, membuktikan potensi komersial yang tinggi. Dari perspektif kelestarian, penggunaan bahan tempatan dan sistem ternakan organik menyumbang kepada pengurangan jejak karbon serta menyokong pembangunan industri makanan yang lebih mampan. Kesimpulannya, Burger Ikan Patin Su-Chi bukan sahaja memenuhi keperluan pemakanan sihat masa kini, malah berpotensi sebagai produk inovasi yang mampu memperkukuh rantaian nilai industri akuakultur negara. Inovasi ini membuktikan bahawa integrasi antara teknologi ternakan, sains makanan dan keusahawanan mampu menghasilkan produk makanan yang berdaya saing, berkhasiat dan lestari.