US48: PUFF KARI SIRA: INOVASI PRODUK BAKERI TRADISIONAL MENGGABUNGKAN RASA MANIS DAN PEDAS

NUSRAH BINTI YASIN KOLEJ VOKASIONAL TAWAU

Abstrak : Puff Kari Sira diperkenalkan sebagai inovasi produk bakeri yang menggabungkan kari berperisa sederhana pedas dengan salutan sira gula yang ringan, bertujuan memenuhi kehendak pengguna terhadap kelainan rasa, tekstur, dan aroma. Produk ini menawarkan tekstur  yang rangup, sesuai dinikmati sebagai snek atau hidangan minum petang bagi semua peringkat umur. Kajian ini menggunakan metodologi penghasilan eksperimental, melibatkan penyediaan adunan menggunakan bahan mentah yang mudah diperoleh, penyusunan langkah pengadunan, pembentukan puff menggunakan piping bag, dan pembakaran pada suhu 180°C selama 25–30 minit. Seterusnya, sira gula disediakan menggunakan pes kari, air dan gula, yang kemudian disalutkan ke atas puff yang telah dibakar. Penilaian penerimaan pengguna dijalankan terhadap 100 responden menggunakan soal selidik berstruktur, menilai aspek rasa, aroma, tekstur dan kebolehpenerimaan keseluruhan produk. Hasil kajian menunjukkan 73% responden bersetuju bahawa Puff Kari Sira mempunyai rasa unik dan sedap, manakala 66.7% menyukai gabungan rasa manis dan pedas yang memberikan pengalaman rasa yang menarik. Dari segi pengeluaran, produk ini berpotensi dikomersialkan kerana kos pengeluaran yang berpatutan, bahan mentah mudah diperoleh, serta proses penyediaan yang ringkas. Secara keseluruhan, Puff Kari Sira membuktikan bahawa inovasi rasa dapat meningkatkan daya saing produk bakeri tempatan, menyokong pengkomersialan usahawan kecil dan sederhana, serta memberi impak positif kepada pengguna dan industri makanan secara berterusan.

Kata kunci: Puff Kari Sira, inovasi bakeri, gabungan rasa manis dan pedas, metodologi penghasilan eksperimental, penerimaan pengguna, komersialisasi produk