US460: SPREAD KACANG GAJUS PISANG

MARIANI BINTI KISMAN KOLEJ VOKASIONAL TAWAU

Kajian inovasi Spread Kacang Gajus Pisang yang berteraskan konsep “Menyembuhkan, Menyuburkan dan Menghidupkan Warisan” dalam kategori makanan tradisional ini berasal dari komuniti Tawau dan merupakan pemenang PIKL 2025 Zon Tawau, Sabah. Inovasi ini tercetus daripada amalan pemakanan tradisional masyarakat tempatan yang memanfaatkan bahan mudah diperoleh seperti pisang dan kacang gajus dalam penyediaan makanan harian. 

Kajian ini turut meneliti pengetahuan tradisional dalam pemilihan bahan, kaedah penyediaan manual, serta nilai budaya yang mengaitkan makanan dengan kesihatan dan kebersamaan komuniti. Inovasi ini mengadaptasi kaedah tradisional kepada bentuk moden iaitu spread, tanpa mengabaikan keaslian rasa dan khasiat. Dari segi keberkesanan, gabungan pisang dan kacang gajus terbukti memberikan sumber tenaga, rasa kenyang lebih lama serta nilai pemakanan yang seimbang.

Dari sudut peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D), produk ini berpotensi dipertingkatkan melalui kajian lanjut terhadap nilai pemakanan, jangka hayat dan kestabilan produk. Kajian variasi perisa seperti coklat, madu atau buah-buahan lain boleh dijalankan tanpa menjejaskan kandungan nutrisi asal. Selain itu, penerokaan teknologi pemprosesan seperti pengeringan terkawal serta teknik pembungkusan inovatif mampu memanjangkan tempoh simpanan tanpa penggunaan bahan pengawet. Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan makanan juga dapat menyokong ujian makmal yang lebih komprehensif bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan produk. Responden kajian di sekitar Daerah Tawau sebanyak 98% telah menerima produk ini dengan penerimaan rasa, tekstur, rupa, warna dan pembungkusan yang sangat baik serta sesuai dipasarkan secara komersial. 

Dari segi sumbangan kepada industri kesihatan dan makanan, spread kacang gajus pisang ini berpotensi menjadi alternatif lebih sihat berbanding sapuan komersial yang tinggi gula dan bahan tambahan. Kandungan nutrisi daripada pisang dan kacang gajus menyokong keperluan tenaga harian serta pemakanan seimbang. Di samping itu, produk ini menggalakkan penggunaan bahan tempatan, menyokong ekonomi komuniti, serta mengangkat makanan tradisional ke tahap yang lebih moden. Secara keseluruhannya, inovasi ini bukan sahaja memelihara warisan kulinari tempatan, malah menyumbang kepada pembangunan industri makanan yang lebih sihat, mampan dan berasaskan kearifan lokal.