Hidayatul Sakinah Binti Mohd Zulkifli Universiti Selangor (UNISEL)
Abstrak: Perkahwinan jarak jauh merupakan cabaran yang semakin relevan dalam dunia moden hari ini, terutamanya dalam kalangan pasangan yang terpaksa menjalani kehidupan berasingan akibat faktor pekerjaan, pendidikan dan sebagainya. Kajian ini bertujuan untuk membangunkan sebuah platform digital yang menggabungkan teknologi dan nilai-nilai Islam dalam usaha membantu pasangan yang terlibat dalam perkahwinan jarak jauh untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan mereka. Platform ini menawarkan pelbagai pendekatan, seperti ruang komunikasi yang terdiri daripada video call berjadual, mesej peringatan untuk memperkukuh ikatan dan aktiviti bersama dalam talian. Selain itu, platform ini juga menyediakan modul yang menekankan aspek spiritual dengan menyediakan kaunseling dalam talian oleh ustaz dan ustazah yang bertauliah, bimbingan dalam pengurusan kewangan keluarga mengikut panduan Islam serta panduan tentang peranan suami dan isteri dalam menjaga hubungan menurut prinsip-prinsip Islam. Dengan ini, pasangan dapat menjalani kehidupan perkahwinan yang lebih harmoni meskipun berjauhan. Platform ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan komunikasi, tetapi juga untuk membantu pasangan memperbaiki hubungan mereka berdasarkan nilai-nilai agama yang mengutamakan kasih sayang, amanah, dan kesetiaan. Melalui inovasi ini, diharapkan pasangan suami isteri dapat mengatasi cabaran perkahwinan jarak jauh dengan lebih baik dan mencapai kebahagiaan berpanjangan sesuai dengan ajaran Islam.