WAN NUR ANIS BINTI WAN AFTHANORHAN KOLEJ VOKASIONAL KUALA KRAI
Projek Stelcoltech menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) ini dibangunkan sebagai satu inovasi bagi meningkatkan keberkesanan proses pembinaan dan pengajaran amali di bengkel pembinaan KV Kuala krai. Produk ini dihasilkan untuk memudahkan kerja-kerja tuangan tiang konkrit dengan lebih cepat, tepat dan selamat berbanding penggunaan acuan kayu secara konvensional. Antara kelebihan utama Stelcoltech ialah lebih tahan lama, boleh digunakan berulang kali, menjimatkan kos dalam jangka masa panjang dan menghasilkan kemasan konkrit yang lebih kemas dan berkualiti. Projek ini penting bagi mengatasi masalah yang sering berlaku di bengkel seperti kerosakan acuan kayu, ketidaktepatan ukuran, pembaziran bahan dan tempoh penyediaan acuan yang mengambil masa yang lama. Kajian ini melibatkan seramai 40 orang responden yang terdiri daripada pelajar kursus pembinaan dan data dikumpulkan melalui borang soal selidik sebelum dianalisis menggunakan kaedah peratusan dan skor min. Hasil analisis menunjukkan tahap kepuasan pelajar berada pada tahap tinggi dengan nilai skor min keseluruhan sebanyak 4.50, manakala lebih 49.25% responden bersetuju dan 49.50% responden sangat setuju bahawa penggunaan acuan keluli memudahkan kerja amali serta meningkatkan kefahaman terhadap sistem IBS. Secara keseluruhannya, projek ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan penulis berharap agar produk ini dapat digunakan secara berterusan dalam bengkel serta berpotensi untuk dikomersialkan pada masa hadapan.