MUHAMMAD ANIM NAJIB BIN JAPRIDIN KOLEJ VOKASIONAL (PERTANIAN) TELUK INTAN
Projek ini bertujuan untuk membangunkan Mini Forhand Trolland, sebuah inovasi gabungan antara troli dan tangga yang direka bagi memudahkan proses pengangkutan barang dan membantu akses ke tempat tinggi semasa kerja di bengkel dilakukan. Kajian ini dijalankan di Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan dengan fokus bagi menangani isu kesukaran membawa barangan serta keperluan tenaga kerja yang banyak dalam pemindahan peralatan dan bahan kerja serta membantu menjimatkan ruang penyimpanan alatan. Produk ini direka menggunakan bahan mild steel bagi memastikan ketahanan dan jangka hayat yang lebih lama, serta dilengkapi dengan mekanisme lipatan untuk menjimatkan ruang penyimpanan. Metodologi kajian melibatkan analisis permasalahan di kawasan kajian, lakaran produk, pembangunan model 3D menggunakan perisian SketchUp, serta proses pembangunan fizikal berpandukan spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan. Selain itu, kajian literatur turut dilakukan bagi memahami konsep tangga, troli, roda, serta proses kimpalan yang digunakan dalam pembinaan produk. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Mini Forhand Trolland berupaya meningkatkan keberkesanan kerja di bengkel dengan memberikan kemudahan kepada pengguna dalam kerja mengangkut dan menyimpan barangan dengan lebih mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana mengangkut tangga dan troli secara sendirian adalah sukar dan memerlukan tenaga yang banyak. Oleh itu, produk ini direka dengan konsep "two in one" dengan menggabungkan tangga dan troli dalam satu reka bentuk yang membolehkan kedua-dua barangan tersebut dibawa sekali gus dengan lebih mudah dan menjimatkan ruang penyimpanan. Kesimpulannya, inovasi ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengguna di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, malah berpotensi untuk memperluaskan penggunaannya ke sektor lain yang memerlukan kemudahan pemindahan barang dan akses ke tempat tinggi dengan lebih efisien.