JULIA BINTI MAZLY KOLEJ VOKASIONAL (PERTANIAN) TELUK INTAN
Kajian ini dijalankan bagi menghasilkan sirap probiotik berasaskan tebu (Saccharum officinarum L.) sebagai alternatif minuman berfungsi yang sihat dan bukan tenusu. Tebu merupakan sumber semula jadi yang kaya dengan sukrosa, namun jus tebu segar mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, iaitu sekitar enam jam sahaja, sekali gus menyebabkan pembaziran. Selain itu, kebanyakan produk probiotik di pasaran adalah berasaskan tenusu, yang tidak sesuai untuk individu yang mempunyai intoleransi laktosa atau mengamalkan diet vegan. Oleh itu, projek ini bertujuan untuk menghasilkan sirap probiotik menggunakan bakteria Lactobacillus plantarum, di samping memanjangkan jangka hayat jus tebu serta menilai kualiti produk dari segi pH, nilai kemanisan (Brix) dan penerimaan sensori.
Hasil kajian menunjukkan nilai pH produk menurun ke bawah 4.5, menandakan persekitaran berasid yang sesuai untuk kestabilan probiotik. Nilai Brix pula kekal tinggi, menunjukkan rasa manis masih dapat dikekalkan. Ujian sensori mendapati produk mempunyai penerimaan yang memuaskan dari segi rasa, warna dan bau, serta mampu disimpan sehingga dua minggu tanpa pertumbuhan kulat. Secara keseluruhannya, projek ini berjaya menghasilkan sirap probiotik berasaskan tebu yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan sebagai produk minuman sihat, sekali gus menyumbang kepada pengurangan pembaziran dan pembangunan industri makanan berfungsi.