US14: SERBUK MASKER DAUN DURIAN BELANDA

MASRIANI BINTI SALAKI KOLEJ VOKASIONAL TAWAU

Abstract: Kajian ini bertujuan untuk membangunkan serbuk masker muka berasaskan bahan
semula jadi daripada daun durian belanda (Annona muricata L.) sebagai penyelesaian
penjagaan kulit alternatif untuk remaja berumur 16–20 tahun yang mempunyai kulit muka
berjerawat. Daun durian belanda dipilih kerana kandungan tinggi sebatian bioaktifnya,
termasuk flavonoid, asetogenin, dan antioksidan, yang mempunyai sifat antibakteria, anti
radang, dan pelindung radikal bebas, yang bermanfaat dalam rawatan dan pencegahan masalah
kulit berkaitan jerawat. Metodologi kajian melibatkan beberapa peringkat, iaitu pengeringan
dan pengisaran daun durian belanda menjadi serbuk halus, diikuti dengan formulasi bersama
bahan semula jadi lain seperti kaolin, lidah buaya, madu, dan minyak pati tea tree untuk
meningkatkan keberkesanan produk dan kesesuaian dengan kulit. Responden terdiri daripada
30 pelajar Kolej Vokasional Tawau, khususnya daripada program Kosmetologi dan Seni
Kulinari. Selain itu, tiga responden dipilih untuk memberikan penilaian testimoni bagi
mendapatkan maklum balas kualitatif mengenai keberkesanan produk dan kepuasan pengguna.
Hasil kajian menunjukkan bahawa serbuk masker daun durian belanda berpotensi untuk
mengurangkan jerawat, mengawal pengeluaran sebum berlebihan, mengecilkan liang pori, dan
memperlahankan tanda-tanda penuaan kulit pramatang. Secara keseluruhan, kajian ini
menyumbang kepada pembangunan produk penjagaan kulit semula jadi yang selamat, mesra
alam, dan kos efektif, sambil meningkatkan kesedaran pengguna tentang penggunaan bahan
botani sebagai alternatif yang berkesan kepada formulasi kosmetik sintetik.
Keywords: Daun durian belanda, masker muka berasaskan semula jadi, kulit muka berjerawat,
 
bahan botani, remaja