US276: SISTEM PENYEJUKAN AIR AUTOMATIK UNTUK RUMAH TRADISIONAL

MUHAMMAD FARISH WAFIY BIN SUHAIDILAH KOLEJ VOKASIONAL KEMAMAN

SISTEM PENYEJUKAN AIR AUTOMATIK UNTUK RUMAH TRADISIONAL

 

Irfan Bin Mokhtar, Muhammad Farish Wafiy Bin Suhaidilah, Kamarul Izzat Bin Kamaruddin, Abd Rasid Bin Zahari,  Nur Hidayah Binti Muhamad

 

Kolej Vokasional Kemaman

 

 

Abstrak

Projek ini bertujuan untuk membangunkan satu Sistem Penyejukan Air Kawalan Automatik bagi rumah tradisional yang menggunakan bumbung zink. Masalah utama yang dikenal pasti ialah suhu dalaman rumah yang tinggi akibat penyerapan haba yang berlebihan daripada cahaya matahari, terutamanya pada waktu tengah hari. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan penghuni serta meningkatkan kebergantungan kepada sistem penyejukan konvensional seperti penghawa dingin yang menggunakan tenaga elektrik yang tinggi dan kurang sesuai untuk struktur rumah papan. Bagi mengatasi masalah tersebut, satu sistem penyejukan berasaskan air telah direka bentuk dan dibangunkan menggunakan komponen seperti tangki air, pam air, paip, nozel semburan, sensor suhu dan mikropengawal Arduino. Sistem ini beroperasi secara automatik berdasarkan bacaan suhu yang telah diprogramkan. Apabila suhu dalaman mencapai 32°C, sistem akan diaktifkan dan proses penyejukan berlaku melalui prinsip penyejatan air yang menyerap haba daripada permukaan bumbung. Sistem akan berhenti secara automatik apabila suhu menurun ke tahap 26°C bagi memastikan penggunaan tenaga yang cekap. Hasil pengujian menunjukkan bahawa sistem ini berjaya menurunkan suhu dalaman sebanyak 6°C dalam tempoh 30 minit. Analisis penggunaan tenaga mendapati bahawa sistem hanya menggunakan 0.04878 kWh bagi setiap 30 minit operasi, dengan anggaran kos elektrik sekitar RM0.01. Ini membuktikan bahawa sistem yang dibangunkan adalah cekap tenaga, ekonomik dan sesuai diaplikasikan sebagai alternatif penyejukan mesra alam bagi rumah tradisional.