ALTAMIS NURHAN BIN AZLAN SHAH SK JAWI
Demam denggi berdarah adalah penyakit yang disebabkan oleh nyamuk Aedes aegypti dengan jangkitan virus yang memasuki saluran darah manusia melalui gigitan. Pencegahan penularan demam denggi boleh dilakukan dengan memutuskan rantaian penularan melalui kawalan larva. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan inovasi CARICA ALUM yang dihasilkan. Inovasi ini menggunakan campuran 2 bahan utama iaitu serbuk biji betik dan tawas dalam mengawal pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes aegypti. Penyelidikan yang dijalankan ialah melalui kaedah eksperimen. Sampel dalam kajian ini ialah 20 ekor jentik-jentik nyamuk Aedes aegypti yang dicampur dengan serbuk biji betik dan tawas dengan dos 1 gram serbuk biji betik, 0.5 gram tawas dan 2 gram serbuk biji betik, 1 gram tawas dan 3 gram serbuk biji betik, 1.5 gram tawas. Proses ini dilakukan dengan 3 kali ulangan selama 24 jam. Hasil kajian menunjukkan semakin tinggi dos serbuk biji betik dan tawas dimasukkan ke dalam sampel, semakin banyak jentik-jentik yang mati. Ini kerana jentik-jentik terdedah kepada serbuk biji betik yang mengandungi sebatian kimia dan sebatian aktif seperti alkaloid carpain, tanin, flavonoid dan saponin. Penggunaan tawas pula berperanan penting dalam proses pembersihan air, agar tidak menyebabkan kekeruhan yang ketara dan tidak mengurangkan kualiti air. Selain itu, tawas juga berfungsi dalam kematian jentik-jentik Aedes aegypti kerana ia dapat mengurangkan pH air tersebut. Kesimpulan dari kajian ini, inovasi CARICA ALUM amat berkesan dalam membunuh jentik-jentik nyamuk Aedes aegypti serta boleh disyorkan dalam mengawal vektor demam denggi berdarah.