AZRI BIN SAID SEKOLAH MENENGAH TEKNIK SEJINGKAT
Inovasi Treeventrue Game – SpaceNet adalah sebuah aplikasi berasaskan web yang bercirikan permainan digital yang direka khusus untuk menyokong penguasaan topik Rangkaian dalam Teori Graf bagi subjek Matematik Tingkatan 4. Inovasi ini dibangunkan untuk pelajar di Sekolah Menengah Teknik Sejingkat sebagai usaha menangani isu kurang fokus, tahap kefahaman yang rendah terhadap konsep abstrak, serta kecenderungan pelajar untuk cepat bosan dalam pendekatan pembelajaran konvensional. Aplikasi ini dibangunkan menggunakan perisian GDevelop dengan penekanan terhadap reka bentuk grafik yang selaras dengan tahap kognitif pelajar sekolah menengah teknik, di samping elemen gamifikasi yang interaktif dan menarik. Permainan ini mengintegrasikan pelbagai soalan berbentuk aras berbeza yang membolehkan pelajar melakukan ulang kaji secara kendiri sambil menguji tahap penguasaan mereka terhadap konsep rangkaian dalam teori graf. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan aktif pelajar, malah menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar serta pemikiran kritis dalam menyelesaikan masalah matematik. Hasil pelaksanaan inovasi ini menunjukkan peningkatan positif dari segi motivasi, minat, dan kefahaman pelajar terhadap topik yang diajar. Secara keseluruhannya, Treeventrue Game – SpaceNet berpotensi menjadi alternatif PdP yang efektif dalam memperkasa pembelajaran Matematik melalui integrasi teknologi digital dan gamifikasi selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.