DR. MOHD FAUZI BIN ABDUL HAMID Universiti Sultan Zainal Abidin
Penguasaan ilmu nahu Arab sering menjadi cabaran utama dalam kalangan pelajar kerana topiknya yang pelbagai, kompleks serta tidak disusun secara berpusat, menyebabkan pelajar sukar memahami gambaran keseluruhan dan hubungan antara setiap bab. Tambahan pula, kebanyakan rujukan yang berpusat hanya terdapat dalam buku teks yang bersifat statik dan kurang interaktif, sekali gus mengurangkan minat serta keberkesanan pembelajaran. Sehubungan itu, satu inovasi berasaskan teknologi Artificial Intelligence (AI) telah dibangunkan melalui sebuah laman web interaktif dikenali sebagai Baitunnahwi, yang dibina menggunakan platform Gamma AI. Nama “Baitunnahwi” membawa maksud “rumah nahu”, iaitu simbolik kepada sebuah rumah ilmu yang tersusun dan saling melengkapi; setiap “ruang” dalam rumah ini mewakili komponen penting dalam nahu seperti asas binaan (al-asas) yang merujuk kepada pengenalan konsep, “tiang” yang melambangkan kaedah dan hukum utama, “bilik-bilik” yang menghimpunkan subtopik seperti isim, fi‘l dan harf, serta “hiasan” yang menggambarkan contoh, infografik dan aplikasi penggunaan dalam ayat. Pendekatan simbolik ini membantu pelajar melihat nahu sebagai satu struktur yang lengkap dan teratur, bukan sekadar topik yang terpisah-pisah. Laman ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran nahu yang menghimpunkan topik-topik asas secara tersusun bagi membantu pelajar mendapatkan gambaran menyeluruh tentang struktur nahu Arab. Antara keistimewaan utama Baitunnahwi ialah reka bentuknya yang mesra pengguna, kandungan yang berfokus kepada asas bagi memudahkan pemahaman, serta penyusunan topik secara sistematik dalam satu platform berpusat. Selain itu, laman ini turut dilengkapi dengan elemen animasi interaktif dan infografik yang menarik untuk meningkatkan kefahaman konsep secara visual, di samping menyediakan latihan bagi setiap subtopik sebagai medium pengukuhan dan penilaian kendiri pelajar. Inovasi ini menyasarkan pengguna daripada pelbagai peringkat sama ada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun masyarakat umum yang ingin mempelajari nahu Arab dengan lebih mudah dan efektif. Dengan mengintegrasikan pendekatan teknologi moden dan elemen pedagogi yang bersifat interaktif, Baitunnahwi bukan sahaja berpotensi meningkatkan minat pelajar terhadap ilmu nahu, malah mampu memperkukuh penguasaan konsep secara lebih mendalam, sistematik dan berkesan selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.