SHARIFAH KHAIRUNNISA BINTI SYED RAHMAD KOLEJ VOKASIONAL SHAH ALAM
Projek ini dijalankan untuk memperbaiki kaedah pengurusan koperasi di Kolej Vokasional Shah Alam melalui pembangunan sistem pengiraan dividen yang lebih cekap dan teratur. Masalah utama yang dikenalpasti adalah kekeliruan dalam pengurusan maklumat ahli koperasi menyebabkan kategori ahli menjadi tidak teratur dan ahli tidak layak menerima dividen. Selain itu, pengiraan dividen yang dilakukan secara manual mengakibatkan kesilapan, dan laporan tahunan lambat disediakan kerana proses analisis yang memakan masa. Oleh itu, KOOPSHARE, sebuah sistem pengurusan koperasi yang komprehensif, dibangunkan dengan menggunakan metodologi Agile, yang menekankan fleksibiliti, kerjasama, dan semakan berterusan sepanjang pembangunan sistem. Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan sistem dibina dengan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan, tetapi juga mengurangkan risiko kesilapan awal dalam proses pembangunan. Sistem ini telah dibangunkan dengan pengaturcaraan PHP, HTML, CSS dan MySQL untuk pangkalan data. Sistem ini telah menggunakan dokumen pengujian dan telah diuji oleh 3 orang yang mempunyai latar belakang pembangunan sistem termasuk 27 orang lagi penguji menggunakan set soal selidik penggunaan sistem. Hasil daripada pembangunan KOOPSHARE adalah sistem telah mampu mengasingkan ahli mengikut kategori yang tepat, menghitung dividen dengan betul, dan menjana laporan tahunan secara automatik. Sekaligus mengurangkan beban kerja unit koperasi. Kesimpulannya, sistem telah dapat memudahkan pengurusan koperasi, pengiraan dividen yang betul dan keselamatan dalam penyimpanan data ahli koperasi.