US186: Smart Extension Plug (SMEP)

MUHAMAD NAUFAL BIN SHAIRUL KOLEJ VOKASIONAL SHAH ALAM

Smart Extension Plug (SMEP) adalah peranti pintar berasaskan Internet of Things (IoT) yang dibangunkan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dalam kalangan penghuni Blok G Kolej Kediaman, Kolej Vokasional Shah Alam. SMEP membolehkan pengguna mengawal peranti elektrik secara jarak jauh melalui aplikasi mudah alih Blynk. Selain itu, menyediakan pemantauan voltan dan arus elektrik secara masa nyata serta ciri pemasa untuk menjadualkan operasi peranti secara automatik. Di samping itu, projek ini terlebih dahulu membuat perbandingan beberapa projek yang lepas di antaranya Smart Plug Prototype, Wi-Fi Smart Plug dan Smart Plug. Projek SMEP menggunakan model Agile yang terbahagi kepada enam fasa utama, iaitu perancangan, analisis, reka bentuk, pembangunan, pengujian, dan maklum balas. Setiap fasa dilaksanakan dengan pendekatan iteratif bagi memastikan penyesuaian kepada keperluan pengguna dan peningkatan kualiti sistem secara berterusan. Tinjauan ke atas 36 orang responden melalui borang soal selidik dijalankan dan data daripada soal selidik dianalisis menerusi Google Form. Berdasarkan hasil analisis yang dijalankan menggunakan Microsoft Excel, SMEP terbukti berkesan dalam membantu pengguna menguruskan tenaga elektrik dengan lebih efisien sebanyak 72%. Projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran tenaga tetapi juga meningkatkan keselamatan pengguna dengan ciri pemantauan tenaga dan kawalan pintar. Selain itu, penggunaan SMEP dapat membantu pelajar lebih peka terhadap penggunaan tenaga dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada amalan harian mereka. Dengan ciri-ciri inovatif yang dimiliki, SMEP berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya di institusi lain serta kediaman domestik bagi menyokong pengurusan tenaga yang lebih bijak dan mampan. Tambahan pula, perkembangan teknologi IoT dalam bidang pengurusan tenaga boleh membuka peluang kepada pelbagai penambahbaikan dan integrasi teknologi baharu yang lebih efisien di masa hadapan.