US495: Ular Tangga Bijak Bahasa

LINAWATI BINTI SOCRADJI Universiti Malaysia Sarawak

Inovasi Ular Tangga Bijak Bahasa merupakan permainan papan interaktif yang diubah suai daripada permainan ular tangga tradisional bagi tujuan meningkatkan kemahiran bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah menengah. Inovasi ini dibangunkan sebagai respons terhadap masalah kurang minat murid terhadap pembelajaran tatabahasa yang sering dianggap membosankan dan tidak praktikal menggunakan kaedah konvensional. Permainan ini menerapkan sistem pembelajaran bertingkat merangkumi tiga aspek utama, iaitu morfologi, sintaksis dan peribahasa yang disusun mengikut tahap kesukaran secara berperingkat. Mekanisme permainan menggabungkan elemen pertandingan dan kerjasama kumpulan, dengan peraturan tangga naik bagi jawapan betul dan penalti mundur dua petak bagi jawapan salah. Hasil kajian rintis menunjukkan peningkatan penguasaan morfologi dalam kalangan murid sebanyak 45%, dengan 95% murid melaporkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan 88% guru menyatakan kepuasan terhadap keberkesanan inovasi ini. Inovasi Ular Tangga Bijak Bahasa berjaya memupuk kemahiran abad ke-21 seperti kolaboratif, pemikiran kritis, dan komunikasi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.