SHAMSUDDIN BIN AMIN KOLEJ KOMUNITI BEAUFORT
Sistem Latihan Industri Pelajar (SLIP) merupakan satu inovasi digital bersepadu yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan latihan industri di Kolej Komuniti Beaufort. Sebelum ini, proses permohonan latihan industri dilaksanakan secara manual yang menyebabkan ketidakseragaman maklumat, kesukaran pemantauan serta kualiti komunikasi pelajar yang kurang profesional, khususnya dalam penulisan emel permohonan dan penyediaan dokumen sokongan.
SLIP dibangunkan menggunakan platform berasaskan web dengan integrasi Google Forms, Google Sheets dan reka bentuk laman menggunakan Canva. Sistem ini membolehkan pelajar membuat permohonan secara atas talian, menjana emel permohonan secara automatik dengan format yang standard serta memastikan semua dokumen dilampirkan dengan lengkap dan tersusun. Selain itu, SLIP menyediakan akses kepada takwim latihan industri, dan panduan penulisan buku log.
Pelaksanaan SLIP telah menunjukkan impak yang signifikan, antaranya peningkatan emel permohonan profesional daripada 40% kepada 95%, serta kelengkapan dokumen daripada 50% kepada 98%. Tempoh pemprosesan juga berjaya dikurangkan daripada 3–5 hari kepada kurang daripada satu hari. Inovasi ini turut menyokong elemen Revolusi Industri 4.0 melalui penggunaan teknologi awan, automasi dan analisis data, serta selari dengan prinsip ESG melalui pendekatan tanpa kertas (paperless).
Kesimpulannya, SLIP merupakan inovasi kos rendah berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan latihan industri, malah memperkukuhkan kemahiran komunikasi profesional pelajar. Sistem ini berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya ke institusi pendidikan lain di peringkat nasional.