MUHAMMAD NABIL NIJAD BIN ROSLI KOLEJ VOKASIONAL SHAH ALAM
Pemeriksaan kualiti kimpalan merupakan proses kritikal dalam memastikan keselamatan dan ketepatan sambungan logam, namun amalan di bengkel Kolej Vokasional Shah Alam masih dilaksanakan secara terbuka tanpa kawalan persekitaran yang sesuai sehingga mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan, pencemaran udara serta ketidaktepatan hasil pemeriksaan. Proses Dye Penetrant Inspection (DPI) khususnya mudah terjejas oleh faktor luaran seperti habuk, angin dan pencahayaan yang tidak mencukupi, sekali gus menjejaskan kesihatan pengguna serta kebolehpercayaan keputusan pemeriksaan. Sehubungan itu, Kebuk Pemeriksaan Kimpalan Mudah Alih dibangunkan sebagai satu inovasi bersepadu bagi menyediakan persekitaran pemeriksaan yang terkawal, selamat dan sistematik. Kebuk ini direka menggunakan perisian AutoCAD dan dibina melalui fabrikasi logam yang kukuh serta ringan, dilengkapi dengan pencahayaan LED dan UV bagi meningkatkan kejelasan pemeriksaan serta struktur tertutup untuk mengurangkan gangguan persekitaran. Konsep mudah alih membolehkan penggunaan secara fleksibel terus di lokasi kerja tanpa perlu pemindahan bahan yang berat. Hasil penilaian menunjukkan inovasi ini berjaya meningkatkan keselamatan, ketepatan dan kecekapan kerja, di samping mengurangkan pendedahan kepada bahan berbahaya serta menjimatkan masa operasi. Secara keseluruhannya, projek ini berpotensi tinggi untuk dikomersialkan dalam sektor pendidikan teknikal dan industri fabrikasi sebagai satu standard baharu dalam pemeriksaan kimpalan yang lebih selamat, efisien dan berorientasikan industri.