Pembelajaran tatabahasa Bahasa Arab, khususnya dalam topik tamyiz, sering dianggap mencabar dan mengelirukan dalam kalangan pelajar, terutamanya apabila pengajaran masih bergantung kepada kaedah tradisional yang bersifat teoritikal dan kurang interaktif. Kekeliruan ini semakin ketara apabila pelajar gagal membezakan tamyiz dengan konsep lain seperti hal, sekali gus menjejaskan kefahaman serta keupayaan mereka mengaplikasikan struktur ayat dengan tepat, malah persepsi bahawa topik ini sukar turut menjadi penghalang kepada minat dan penguasaan pelajar secara berkesan. Justeru, projek Tamyizpedia dibangunkan sebagai satu inisiatif inovatif yang mentransformasikan pendekatan pembelajaran konvensional kepada platform digital bersepadu yang lebih dinamik, sistematik dan mesra pengguna, dengan menggabungkan elemen pembelajaran seperti nota komprehensif, infografik visual, contoh ayat kontekstual serta latihan interaktif dalam satu ruang digital yang mudah diakses. Integrasi pelbagai medium ini direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar dengan gaya pembelajaran yang berbeza di samping menyokong pembelajaran kendiri yang lebih fleksibel dan berkesan. Matlamat utama Tamyizpedia adalah untuk mengubah persepsi bahawa topik tamyiz merupakan aspek yang sukar kepada satu pengalaman pembelajaran yang lebih jelas, menarik dan mudah difahami, sekali gus berpotensi menjadi rujukan digital alternatif dalam pembelajaran Bahasa Arab serta menyumbang kepada peningkatan penguasaan pelajar secara menyeluruh dan berterusan.