WAN NUR ANIS BINTI WAN AFTHANORHAN KOLEJ VOKASIONAL KUALA KRAI
Projek TileXpert dibangunkan sebagai satu inovasi bagi meningkatkan keberkesanan proses pemasangan jubin serta membantu pengajaran amali di bengkel pembinaan KV Kuala Krai. Produk ini dihasilkan untuk memudahkan kerja penyebaran mortar dan pemasangan jubin dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan teratur berbanding kaedah konvensional yang menggunakan sudip. Antara kelebihan utama TileXpert ialah mampu menghasilkan ketebalan mortar yang lebih sekata, mengurangkan pembaziran mortar serta membantu menghasilkan susunan jubin yang lebih kemas dan selari. Selain itu, reka bentuk alat ini juga menitikberatkan aspek ergonomik dan kemudahan pengendalian bagi mengurangkan keletihan fizikal pelajar semasa menjalankan kerja amali. Projek ini penting bagi mengatasi masalah yang sering berlaku di bengkel seperti ketebalan mortar yang tidak seragam, pembaziran bahan serta proses pemasangan jubin yang mengambil masa yang lebih lama. Kajian ini melibatkan seramai 40 orang responden yang terdiri daripada pelajar kursus pembinaan dan data dikumpulkan melalui borang soal selidik sebelum dianalisis menggunakan kaedah peratusan dan skor min. Hasil analisis menunjukkan tahap kepuasan pelajar berada pada tahap tinggi dengan nilai skor min keseluruhan melebihi 4.48, sekali gus menunjukkan bahawa penggunaan TileXpert membantu memudahkan kerja pemasangan jubin serta meningkatkan kualiti hasil kerja amali pelajar. Secara keseluruhannya, projek ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan penulis berharap agar alat ini dapat digunakan secara berterusan dalam bengkel pembinaan serta berpotensi untuk dikembangkan penggunaannya pada masa hadapan.