US278: “MINI COOLHEAT BOX”: PENYELESAIAN MASALAH MUDAH ALIH BAGI PENYIMPANAN DAN NYAHBEKU MAKANAN

MUHAMMAD IKHWAN HAKIM BIN KAMARUL AZHAR KOLEJ VOKASIONAL KEMAMAN

“MINI COOLHEAT BOX”: PENYELESAIAN MASALAH MUDAH ALIH BAGI PENYIMPANAN DAN NYAHBEKU MAKANAN

 

Muhammad Ikhwan Hakim Bin Kamarul Azhar, Nik Muhammad Bin Nik Jafri, Nur Hidayah Binti Muhamad, Muhammad Atan Bin Muda

 

Kolej Vokasional Kemaman

 

 

Abstrak

Projek Mini CoolHeat Box dibangunkan sebagai satu sistem mudah alih yang mampu menjalankan fungsi penyejukan dan nyahbeku makanan dalam satu unit. Projek ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pengguna yang memerlukan sistem penyimpanan makanan yang praktikal, mudah dibawa serta sesuai digunakan dalam aktiviti luar. Sistem ini menggunakan teknologi termoelektrik melalui modul Peltier bagi menghasilkan kesan penyejukan, manakala pemanas digunakan untuk menjalankan proses nyahbeku makanan secara terkawal. Kaedah pembangunan projek melibatkan proses mereka bentuk sistem, pemilihan dan pemasangan komponen serta pengujian prestasi sistem. Ujian prestasi dijalankan bagi menilai keberkesanan sistem dari segi keupayaan penyejukan dan proses nyahbeku makanan. Hasil pengujian menunjukkan bahawa sistem mampu menurunkan suhu dalaman secara berperingkat bagi tujuan penyimpanan sementara makanan serta meningkatkan suhu secara terkawal bagi proses nyahbeku. Selain itu, analisis dapatan menunjukkan bahawa kestabilan suhu sistem dipengaruhi oleh pemilihan bilangan modul Peltier dan isipadu air sebagai medium penyejuk. Penyesuaian reka bentuk yang dilakukan berjaya meningkatkan kestabilan operasi sistem. Secara keseluruhannya, Mini CoolHeat Box berjaya dibangunkan sebagai sistem dwi suhu yang kompak, mudah alih dan sesuai digunakan untuk penyimpanan serta nyahbeku makanan dalam pelbagai situasi penggunaan luar.

Kata Kunci: Mini Coolheat Box, Teknologi Termolektrik, Peltier, System Dwi-Suhu, Penyimpanan Makanan