US392: PEMBANGUNAN PROTOTAIP SISTEM BUMBUNG PINTAR BERASASKAN IOT BAGI KAWALAN SUHU AUTOMATIK DI KEDIAMAN PELAJAR DI KOLEJ VOKASIONAL IPOH

Ts. ZURINA BINTI ZAINUDIN KOLEJ VOKASIONAL IPOH

Projek Pembangunan Prototaip Sistem Bumbung Pintar Berasaskan IoT ini bertujuan untuk membangunkan dan menguji kebolehgunaan prototaip bagi kawalan suhu secara automatik di kediaman pelajar Kolej Vokasional Ipoh. Sistem kawalan suhu automatik adalah penting bagi meningkatkan keselesaan penghuni kediaman, terutamanya dalam menghadapi cuaca panas yang semakin meningkat. Oleh itu, sistem konvensional yang memerlukan campur tangan manual untuk mengawal suhu sering menyebabkan ketidakselesaan dan pembaziran tenaga. Metodologi kajian yang digunakan adalah berdasarkan model pembangunan prototaip secara iteratif, yang melibatkan proses perancangan, pembangunan menggunakan mikropengawal ESP32 berasaskan IoT, sensor suhu DS18B20, sistem penyiraman automatik dengan relay, paparan LCD 16x2, dan pembangunan aplikasi mudah alih menggunakan Android Studio dengan bahasa Kotlin, serta pengujian berterusan terhadap fungsi automatik sistem. Sampel kajian terdiri daripada 15 orang responden yang merupakan penghuni kediaman pelajar Kolej Vokasional Ipoh. Pengumpulan data dilakukan melalui kaedah soal selidik menggunakan Google Form dan pemerhatian terhadap prestasi sistem dalam situasi sebenar. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan kaedah deskriptif bagi mendapatkan nilai peratusan dan min untuk mengenal pasti tahap kepuasan dan keberkesanan sistem. Dapatan kajian menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi, di mana sistem berjaya mengaktifkan pam air secara automatik apabila suhu melebihi 35°C dan mematikannya apabila suhu turun di bawah 35°C, membuktikan keberkesanan kawalan automatik dalam mengurangkan suhu bumbung. Kesimpulannya, prototaip Sistem Bumbung Pintar Berasaskan IoT terbukti memberikan manfaat praktikal yang signifikan kepada penghuni kediaman dalam meningkatkan keselesaan dan kecekapan pengurusan suhu, serta berjaya mencapai objektif kajian sebagai inovasi teknologi IoT yang efektif bagi menyokong kehidupan harian pelajar di Kolej Vokasional Ipoh