MUHAMMAD AMIN HUSAINI BIN MOHAMAD FOUZI KOLEJ VOKASIONAL TEMERLOH
Produk inovasi ini dibangunkan bagi menangani isu peningkatan kes kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan yang berisiko menyebabkan strok haba dan kematian. Sistem yang dicadangkan merupakan satu peranti peringatan pintar yang mampu mengesan kehadiran kanak-kanak di tempat duduk belakang menggunakan sensor pengesanan kehadiran manusia. Isyarat yang diterima akan diproses oleh mikropengawal ESP32 dan seterusnya mengaktifkan amaran melalui paparan skrin TFT 2.8 inci yang jelas serta dengan bunyi buzzer sebaik sahaja enjin kenderaan dimatikan sebelum pemandu ingin meninggalkan kenderaan. Produk ini direka khusus untuk kegunaan ibu bapa, penjaga, serta pengendali taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang menggunakan kenderaan persendirian. Antara kelebihan utama sistem ini ialah tidak memerlukan sambungan internet, mudah dipasang tanpa kepakaran teknikal yang tinggi iaitu semudah Plug & Monitor, serta sesuai digunakan pada pelbagai jenis kenderaan termasuk model lama yang tidak dilengkapi sistem keselamatan moden. Metodologi pembangunan melibatkan proses reka bentuk, pemasangan, pengaturcaraan menggunakan Arduino IDE, serta pengujian fungsi secara sistematik bagi memastikan keberkesanan sistem. Hasilnya, produk ini berupaya memberikan amaran automatik yang efektif dalam mengurangkan risiko kecuaian manusia. Secara keseluruhannya, inovasi ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan, malah membantu mengurangkan kebimbangan dan tekanan emosi ibu bapa melalui penyelesaian yang praktikal, kos efektif dan mesra pengguna.