DR. AFIDATUL SYAZWANI BINTI AFANDI UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN
Type Your
Etimologi bait adalah berasal daripada bahasa Arab iaitu bayt yang membawa makna rangkap puisi atau syair. Satu bait mengandungi baris-baris kumpulan puisi yang membentuk kesatuan makna. Pengaruh muzik daripada Barat dan nilai komersialisme menjadi dua faktor dominan irama Melayu tradisi kurang mendapat tempat dalam golongan masyarakat. Penghasilan lirik lagu lebih mengutamakan nilai keuntungan iaitu komersialisme berbanding penghargaan terhadap nilai warisan milik leluhur. Penelitian terhadap kajian ini lebih menekankan usaha, paradigma, wahana dan alternatif lain yang lebih baharu dan mesra pengguna tanpa memberikan kesan ekonomi yang besar terhadap penulis lirik irama Melayu tradisi di Malaysia. Kajian ini hanya memfokuskan terhadap lirik lagu cempaka sari yang terdapat dalam hikayat Melayu iaitu Misa Melayu. Lirik lagu yang terdapat dalam Misa Melayu disesuaikan dengan penggunaan medium media baharu sebagai wahana dalam mempromosikan karya agung Melayu dan irama Melayu di persada dunia. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini menekankan kaedah penyelidikan secara mixed method iaitu kaedah kualitatif dan kuantitatif menggunakan pendekatan deskriptif. Kaedah kajian seperti kaedah kepustakaan, pemerhatian dan soal selidik turut diaplikasikan bagi melihat keberkesanan medium yang digunakan. Hasil dapatan mendapati, irama Melayu tradisi boleh dipromosikan menggunakan platform media baharu namun terdapat perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian seperti estetika, keaslian, inovasi dan revolusi dalam industri, proses kreatif, sentuhan peribadi, emosi dan kesan visual daripada penggunaan media baharu. Konklusinya, kajian ini adalah satu alternatif dalam mempromosikan irama Melayu tradisi dalam hikayat Melayu ke persada dunia sebagai warisan leluhur yang tidak wajar dilupakan. Khazanah warisan Melayu yang terdapat dalam bait-bait lagu Melayu tradisi dalam hikayat Melayu wajar di martabatkan supaya generasi hari ini lebih menghargai warisan peradaban yang pernah wujud dalam korpus jati diri dan pengetahuan lokaliti masyarakat Melayu.
Kata Kunci: Transformasi, Bait, Irama Melayu, Cempaka Sari, Misa Melayu, Media Baharu Here!