US481: TOOLMOVE TROLLY

WAN NUR ANIS BINTI WAN AFTHANORHAN KOLEJ VOKASIONAL KUALA KRAI

ToolMove Trolly merupakan satu sistem inovasi yang dihasilkan bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan, penyimpanan dan pembersihan alatan serta penyusunan peralatan semasa dan selepas sesi amali di bengkel. Sistem yang dihasilkan telah mengambil kira beberapa faktor dari segi masa, kebolehkerjaan, pengendalian dan penggunaan tenaga. Kajian ini bertujuan untuk meneroka kepentingan penggunaan ToolMove Trolly dalam meningkatkan kecekapan kerja, mengurangkan kebergantungan kepada pengendalian secara manual, mengurangkan risiko kecederaan dan mempromosikan amalan kerja yang lebih selamat dan sistematik. Reka bentuk kajian ini berbentuk deskriptif. Sampel kajian terdiri daripada 46 orang responden yang terdiri daripada pelajar SVM dan DKV program Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional Kuala Krai. Data telah dianalisis bagi mendapatkan peratus dan nilai min. Hasil analisis mendapati pelajar berpuas hati dengan penggunaan ToolMove Trolly selepas kerja-kerja amali. Ini dibuktikan melalui analisis skor min yang memperoleh nilai pada skala tinggi dari segi pengendalian (min = 4.35). Sistem yang dihasilkan diharapkan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih jauh serta mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak kolej vokasional. Secara keseluruhannya, ToolMove Trolly merupakan satu inovasi yang mampan yang bukan sahaja membantu dalam meningkatkan kecekapan pengurusan alatan, malah menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih selamat, sistematik dan berkesan untuk kegunaan pada masa hadapan.